JULAI 2023

Premier Sampaikan Pingat Jubli Intan


KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis penganugerahan pingat Jubli Intan sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka hari ini.

Seramai 51 penerima dianugerahkan pingat Peringatan Jubli Intan sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka, hari ini yang berlangsung  di Hotel Waterfront Kuching. 

Terdahulu, majlis dimulakan dengan penganugerahan pingat Pemacu Peringatan Terbilang Jubli Intan kepada lima penerima.

Mereka adalah bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang, bekas Pemangku Yang di-Pertua Negeri Datuk Amar Tan Sri Bujang Mohd Nor, bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Amar Tan Sri Leo Moggie Irok dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah Datuk Amar Tan Sri Leonard Linggi Jugah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penganugerahan Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Emas) kepada 46 penerima.

Antara penerima anugerah pingat itu ialah isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, isteri bekas Yang di-Pertua Negeri Allahyarham Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce Mohd Nor iaitu Toh Puan Datuk Patinggi Rosmiati Kendati dan isteri bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang iaitu Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu.

Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian turut menerima anugerah pingat yang sama.

Begitu juga dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Penganugerahan pingat Peringatan Jubli Intan tersebut dianugerahkan kepada mereka yang telah menyumbang jasa dan berkhidmat dengan cemerlang terhadap pembangunan negeri Sarawak.

Sumber dari : Sarawakku